KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki Nepal yang terjatuh di Teluk Tongkang Pantai Teluk Cempedak, Kuantan akan disambung pagi esok.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Ganesh Rana, 22, dikatakan datang ke situ kira-kira jam 11 pagi bersama empat orang lagi.
Mangsa adalah pekerja kilang di Kuantan, datang ke pantai bersama rakan-rakan sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Ketika berada di situ, mereka duduk di kawasan berbatu, 100 meter dari Pantai Teluk Tongkang.
Menurutnya, mangsa dilaporkan terjatuh sekitar jam 4.30 petang ketika sedang membuat panggilan video bersama kakaknya.
“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh di dalam air dan terus tenggelam.
“Saksi yang juga rakannya cuba menyelamatkan mangsa dan telah mencapai baju lelaki itu namun gagal kerana arus sangat kuat,” menurut kenyataan di sini hari ini.
Polis hanya menerima aduan jam 6.52 petang.
Wan Mohd Zahari menambah, operasi mencari dimulakan pada jam 7 malam tetapi terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk, hujan lebat dan gelap.
Tambah beliau, siasatan di Pantai Teluk Cempedak mendapati terdapat anggot Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas sebagai pengawal pantai.
Malah, bendera merah juga telah dinaikkan sebagai amaran namun lokasi kejadian agak jauh dan terlindung daripada pandangan petugas. – MalaysiaGazette