KUALA LUMPUR – Stesen radio, Suria FM melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menduduki ranking ke-30 dalam senarai Penarafan Bulanan Metrik Penstriman Digital Triton Secara Global oleh Triton Digital.
Pengurus Besar Suria FM, Roslina Abdul Majid atau DJ Lin berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian, tetapi juga menjadi motivasi untuk stesen itu terus berkembang.
“Kedudukan di ranking ini bukan hanya satu pengiktirafan, tetapi juga satu pencapaian yang memotivasikan kami untuk terus berkembang dan terus menyampaikan kandungan berkualiti kepada pendengar.
“Ini juga menjadi pencapaian untuk terus menjadi stesen buat pendengar khususnya mereka yang mendengarkan siaran Suria FM di suria.my, juga di platform digital yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suria FM berjaya mencatat 10,771 ‘average active sessions’ (AAS), 2.6 juta ‘session starts’ (SS), dan 1.18 ‘average time spent listening’ (ATSL) pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 pagi hingga 8 malam.
Setiap Isnin hingga Ahad dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam pula berjaya meraih sebanyak 7,963 AAS, 4.4 juta SS, dan 1.01 ATSL.
Sementara itu, penarafan itu membuktikan keberadaan Suria FM dalam kalangan kedudukan penerbit audio terbaik dunia sebaris dengan beberapa penerbit audio dunia lain yang tersenarai seperti iHeartRadio, PrisaRadio, Grupo Bandeirantes, dan banyak lagi. – MalaysiaGazette