Kompleks Mahkamah Kota Bharu

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang juga pengarah syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang berdepan 51 pertuduhan gagal patuh arahan award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Datuk Zulkarnain Endut dan Datin Mazuin Mustafa sejurus selepas pertuduhan dibacakan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri.

Difahamkan syarikat itu perlu membayar RM503,221 kepada 17 mangsa yang telah membayar wang masing-masing untuk pakej umrah seperti yang telah ditawarkan oleh Emraz Travel.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat itu yang merupakan milik tertuduh berdepan 51 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd Sophian Zakaria memohon jaminan dikenakan terhadap setiap tertuduh sebanyak RM102,000 dengan seorang penjamin.

Syarat tambahan yang dipohon ialah perlu melapor diri setiap bulan di KPDN Putrajaya.

Kata pendakwaan, tertuduh walaupun sudah diperintah tribunal untuk membayar balik namun mereka culas.

“Ini melibatkan 17 mangsa di Kelantan di mana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan umrah. Mereka telah buat bayaran sejak Februari 2023 dan sepatutnya sudah berlepas menunaikan umrah pada Mac tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun peguam mewakili pasangan itu, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan memandangkan jumlah ditawarkan itu tinggi dan sangat membebankan kerana anak guamnya tidak ada pendapatan ketika ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,200 dan memerintahkan kedua-dua mereka hadir untuk melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast