KAPAR – “Saya dengar bunyi deruman enjin yang kuat sebelum melihat pesawat terbang rendah dan terjunam lalu terhempas di kebun kelapa sawit,”.
Itu detik cemas yang dikongsikan Jinaidi Nasiran, 55, tentang nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, hari ini.
Jinaidi berkata, beberapa minit sebelum insiden berlaku dia sedang membaiki keretanya di depan rumahnya.
“Saya mendengar bunyi kuat enjin pesawat dan menoleh ke belakang.
“Di situ saya nampak sebuah pesawat terbang rendah dari arah timur dan dalam sekelip mata menjunam dan terhempas di tengah kebun kelapa sawit, tiada percikan api semasa nahas.
“Saya dengan beberapa kawan lain bergegas ke lokasi nahas itu sebelum menemui pesawat dalam keadaan berkecai dengan hampir lebih separuh badannya berada dalam tanah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi nahas.
Menurut Jinaidi, penduduk kampung menemui sayap pesawat itu kira-kira satu kilometer dari lokasi ia terhempas.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama insiden pesawat terhempas berlaku di kampung tersebut.
“Insiden petang tadi menyebabkan sebahagian penduduknya tergamam dan takut untuk keluar sehingga pasukan Bomba dan Penyelamat dan polis tiba ke lokasi nahas.
“Banyak pesawat dilihat terbang di kawasan kampung ini, namun tidak pernah melibatkan sebarang kemalangan pesawat dan inilah kali pertama pesawat terhempas berlaku di kampung ini.
“Boleh katakan penduduk sangat bernasib baik kerana ia terhempas di tengah kebun kelapa sawit yang tiada rumah,” ujarnya. – MalaysiaGazette