Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam peringkat akhir melaksanakan kajian berkaitan menggantikan skim pencen penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, banyak perkara yang perlu diteliti sebelum keputusan akhir diambil yang melibatkan pindaan kepada perundangan dan sebagainya.

“Apa yang berlaku oleh kerana tahun 2024, JPA atau badan-badan yang dilantik telah diberikan peruntukan melantik penjawat awam baharu jadi kalau JPA tak keluarkan arahan dikhuatiri ia masih kekal melantik secara tetap dan berpencen ia akan ‘defect the purpose lah’ apa yang kita nak kaji.

“Sebab itu JPA mengarahkan kita melantik secara kontrak dahulu untuk tempoh sehingga kita putuskan setahun sebab JPA di peringkat akhir pengkajian. Akhirnya kerajaan akan membuat keputusan.

“Ini bukan keputusan JPA, kena diangkat ke Jemaah Menteri. Belum ada sebarang keputusan dibuat,” kata ketika berucap pada Majis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Mohd Zuki berkata, kerajaan menanggung sejumlah RM12 bilion untuk pembayaran pencen pada 2023 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM32 bilion tahun ini.

“Sekiranya keadaan ini berlarutan akan menjadi RM120 bilion pada 2030. Jadi kerajaan tak mungkin mampu dan kalau dibiarkan berterusan apa akan jadi, RM200 bilion mungkin diperuntukan untuk bayaran pencen sahaja.

“Sebab itu kerajaan meminta JPA dan jawatankuasa mengkaji arah mana nak bawa mereka yang bersara ini?” kata beliau.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menerusi satu pekeliling baru-baru ini memaklumkan inisiatif kaedah baharu mengantikan pencen dalam fasa pindaan kepada undang-undang.

Ia dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam jangka masa panjang. – MalaysiaGazette