ISKANDAR PUTERI –   Seorang remaja perempuan parah selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di kilometer 5.4 Lebuh Ismail Sultan menghala ke Johor Bahru, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7,30 malam apabila kereta Mazda di lorong kanan mengubah haluan ke kiri kerana mengelak sebuah motosikal yang terbabas dan tidak dialihkan.

Kejadian itu menyebabkan sebuah kenderaan di belakang kereta Mazda cuba mengelak dan berhenti secara mengejut di bahu kanan jalan.

Sebuah motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar di bahagian belakang kereta berkenaan disusuli perlanggaran empat buah motosikal lain sesama sendiri dari arah belakang.

Ekoran daripada kejadian itu, dua mangsa kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Manakala empat lagi mangsa cedera ringan dan kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Pihak polis masih menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Farhan Roslen di talian 0176304943.-MalaysiaGazette