Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenalpasti identiti pemilik akaun media sosial yang disyaki menghantar ugutan bunuh kepada peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah memperolehi maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai butiran dan identiti pemilik akaun media sosial itu.

“Belum ada tangkapan dibuat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Allaudeen, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk untuk tindakan selanjut terhadap kertas siasatan pertama yang diserahkan beberapa minggu lalu.

“Manakala dua lagi kertas siasatan masih diteruskan siasatan dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya),” ujarnya.

Pada 11 Februari lalu, Allaudeen mengesahkan polis menerima tiga laporan polis daripada Nik Elin Zurina yang didakwa menerima ugutan bunuh menerusi media sosial.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette