TELUK KUMBAR – Tujuh nelayan bersama dua wakil Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menghentikan projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Setiausaha Kehormat SAM, S. Mageswari berkata, kesemua sembilan pemohon telah menyaman Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia), Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan pemaju projek, SRS Consortium Sdn Bhd masing-masing selaku responden pertama hingga keempat.
Katanya, Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail selaku pemohon pertama untuk mengambil tindakan itu bagi pihak diri sendiri serta nelayan di selatan pantai Pulau Pinang yang didakwa terjejas teruk akibat projek terbabit.
“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 5 Februari lalu telah memberi kebenaran meneruskan permohonan semakan kehakiman.
“Pemohon turut memohon satu deklarasi bahawa Kebenaran Merancang yang diberikan oleh PLANMalaysia pada 21 Ogos tahun lalu batal dan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976).
“Pemohon turut memohon untuk mendapatkan perintah membatalkan kebenaran merancang kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan kerja-kerja penambakan bagi projek PSR di Daerah Barat Daya,” katanya dalam sidang media di Sungai Batu, di sini, hari ini.
Tambahnya, pemohon turut memohon mendapatkan perintah supaya kerajaan Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn Bhd segera memulihkan sebarang kerosakan kepada kawasan yang mana kerja-kerja penambakan telah bermula kepada keadaan asal.
Permohonan semakan kehakiman itu akan diperdengarkan di hadapan Hakim Quay Chew Soon pada 19 Februari ini.
Media pada 11 Mei lalu melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan mengecilkan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan mengurangkan kepada satu pulau.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PSI secara keseluruhan dikecilkan sebanyak 49 peratus yang mana sebelum ini 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar.
“Pengurangan saiz ini bermaksud hanya Silicon Island sahaja akan dilaksanakan dalam dua fasa manakala Pulau B dan C tidak akan diteruskan.
“Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan,” katanya. – MalaysiaGazette