Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Tiga kemalangan maut direkodkan sepanjang enam hari Operasi Selamat 21 Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiga kematian yang direkodkan dalam tempoh itu semua membabitkan penunggang motosikal.

“Tiga kemalangan maut itu dilaporkan berlaku membabitkan Jalan Bandaran di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Jalan Persekutuan (daerah Seberang Perai Utara) serta Jalan Ekspres (daerah Barat Daya).

“Dalam tempoh sama sebanyak 843 kes kemalangan direkodkan dan kebanyakannya membabitkan penunggang motosikal.

“Mengikut pecahan daerah Timur Laut mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu dengan 289 kes dan diikuti 232 (SPT); 137 (SPU); 93 (Barat Daya) serta 92 (Seberang Perai Selatan),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang meningkatkan kehadirannya dan memantau kawasan kerap berlaku kesesakan serta kemalangan, bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina.

Sebanyak tujuh lokasi dikenal pasti kerap berlaku kemalangan iaitu Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Ampat, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Jalan Air Itam, Jalan Air Itam-Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah , Jalan Tun Dr Awang. – MalaysiaGazette