GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang sebelum ini ditahan reman kerana mengintip wanita menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, di sini, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 20-an itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat hari ini.

“Kertas siasatan kes itu juga sudah dilengkapkan dan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita telah mengambil keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan kes ini dan kita akan tunggu arahan lanjut daripada DPP selepas hantar kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Media pada Ahad lalu melaporkan, seorang lelaki ditahan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung mengintip menerusi kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi dalam bilik air sebuah inap desa di sini.

Difahamkan, lelaki itu merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis tersebut dan dipercayai dia turut menginap di inap desa yang sama bersama beberapa lagi rakan mereka pada 5 hingga 6 Februari lalu.

Polis juga telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast