Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika mempengerusikan mesyuarat di Wisma Sri Pahang hari ini

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menyangkal dakwaan kononya akan menutup tanah yang diusahajan oleh orang asli negeri ini.

Sebaliknya, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang menambah baik dalam aspek pengurusan ketirisan cukai tanah yang dilaksanakan secara berperingkat.

”Kerajaan negeri tidak ada mengeluarkan sebarang penutupan tanah, sebaliknya menguruskan makanisme pembayaran cukai tanah seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

”Kita berharap RISDA dapat meneruskan usaha dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam pengambilan dan penuaian hasil dalam usaha menjaga kebajikan peserta,” katanya.

Untuk rekod, seluas 17.012 hektar atau 42,000 ekar telah diusahakan oleh  Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh Pahang.

Daripada jumlah itu, 69 projek membabitkan 4,678 peserta orang asli yang mengusahkan tanaman semula komersial (TSK) dan 115 projek lagi disertai 4,670 orang bagi tanaman semula berkelompok (TSB).

”Semua tanah ini diusahakan RISDA. Sekarang kerajaan negeri sedang melaksanakan pengurusan cukai, yang mana proses perbincangan, rundingan termasuk turun ke lokasi bagi melakukan proses pengukuran.

”Soal nak tutup mana-mana ladang tidak timbul,” katanya ketika sidang media di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, isu berkenaan timbul apabila pengurusan cukai tidak dapat dilakukan secara serentak dengan semua agensi terbabit.

”Kerajaan negeri sedang menguruskan ketirisan cukai. Sebelum ini kerajaan negeri menyelesaikan isu sama  dengan Felda, Tenaga Nasional Berhad  dan Felcra, semua tidak boleh diselesaikan secara serentak,” katanya. – MalaysiaGazette