Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan isu salah laku polis dan mengamalkan pendekatan ‘zero tolerance’ dalam menangani isu tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap masyarakat dapat memahami bahawa ‘zero toleran’ itu bermaksud komitmen polis terhadap tugas hakiki mereka tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Kalau ada insiden (salah laku) seperti itu, kita ada mekanisme untuk menguruskannya sebab bidang kuasa pelanggaran disiplin itu kita ada jawatankuasa di bawah Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) sendiri dan juga ada bidang kuasa disiplin di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang saya pengerusikan .

“Jadi zero tolenrasi adalah penekanan kita terhadap hal-hal yang berlaku kebelakangan ini,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Kompleks Perkasa Setia, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu pelanggaran tatatertib melibatkan anggota yang telah mencalarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akibat terjebak dalam rasuah dan salah laku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antaranya adalah seorang pegawai kanan polis ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh secara langgar dengan kereta pelajar Tingkatan Lima di Perak, ketua polis balai disiasat kerana melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di Johor dan dua anggota ditahan kerana terlibat dalam kes samun, rogol pelajar perempuan warga asing dalam kereta peronda (MPV) di Selangor.

Razarudin berkata, peringatan kepada beliau dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut.

Jelasnya, PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan sepertimana yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ditanya sama ada KDN akan menyemak semula kriteria pengambilan anggota dan pegawai polis pada masa akan datang, Saifuddin berkata, PDRM itu masih popular dan menjadi pilihan ramai.

Jelas beliau, ia dibuktikan apabila pengambilan baharu jawatan inspektor menerima lebih 35,000 permohonan walaupun agensi itu berdepan isu salah laku.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan pasukan polis dan sama ada ia merupakan sukatan atau silibus atau kriteria pemilihan, misalnya pengambilan terbaru jawatan inspekstor, pemohonan hampir 35,000 hingga ke 40,000.

“Yang kita hendak ambil sangat kecil bilangannya. Di satu sisi kita bahawa cerita tentang perlanggaran disiplin dan sebagainya nampak hodoh tetapi perjawatan itu wujud permohonan terlalu besar.

“Saya tanya panel penemuduga semalam, mereka kata yang memohon mempunyai pelbagai bakat dengan penguasaan pelbagai bahasa sampai tiga dan empat, ada yang peguam dalam amalan, ada bidang kelulusan bertaraf professional dan ada yang bidang data sains iaitu keperluan segera.

“Jumlah ini menunjukkan kualiti yang memohon sangat tinggi dan isunya ketika berdepan dengan insiden terpencil babit keperluan disiplin. Ada tak keperluan kita semak kriteria di mana saat ini kualiti permohonan sangat tinggi dan itu baru kekosongan inspekstor.

“Jadi menunjukkan minta terhadap pasukan polis masih tinggi dan kepercayaan ke atas institusi ini penting dan saya berpendapat kriteria dan silibus serta bakat yang berkualiti, kita mampu mengurangkan masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast