KUALA LUMPUR – Kapal pembekalan pesisir pantai, Bos Azlina karam di perairan Bintulu, Sarawak semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, pihaknya menerima isyarat kecemasan daripada kapal tersebut di posisi sembilan batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu.
Jelasnya, maklumat awal yang diterima aset maritim Bot Kilat 44 memaklumkan bahawa kapal terbabit dilaporkan telah separuh ditenggelami air dan terdapat lapan kru termasuk master yang kesemuanya adalah lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun.
“Semasa Bot Kilat 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu kira-kira pada pukul 11.56 pagi, aset Maritim itu telah menerima isyarat kecemasan melalui radio very high frequency (VHF) berkenaan insiden Vesel Bos Azlina yang hampir karam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Iszuadi, Bot Kilat 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu memaklumkan kejadian tersebut kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching.
Seterusnya, tambah beliau, Bot Kilat 44 bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan kepada vesel tersebut sejurus laporan dibuat.
Katanya, kesemua kru kapal Bos Azlina selamat dikeluarkan pada kira-kiora jam 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.
“Keadaan tidak dapat dikawal setelah hampir kira-kira satu jam, vessel itu telah ditenggelami air sepenuhnya,” ujarnya.
Mohd Iszuadi berkata, punca kejadian masih lagi disiasat manakala ejen kapal berkenaan telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa. – MalaysiaGazette
.