Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat khususnya di negeri itu serta memupuk persefahaman dalam masyarakat seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, sambutan perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2024 akan diadakan pada Sabtu, 24 Februari di di IOI City Mall, Sepang, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dijangka berkenan menghadiri sambutan tersebut.

Majlis tersebut dijangka dimeriahkan dengan kehadiran sekitar 15,000 tetamu, termasuk kerabat diraja Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta isteri, barisan Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan wakil kedutaan.

“Majlis ini bakal diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti gabungan dari pelbagai jenis tarian tradisonal Malaysia seperti tarian naga, tarian singa, gamelan dan drum serta okestra yang melambangkan sebahagian daripada warisan dan budaya tradisional di Malaysia.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan ini, tradisi penyampaian sumbangan ‘angpow’ kepada kanak-kanak berusia di bawah umur 12 tahun, selain pemberian limau,” katanya.

Menurut beliau, antara pengisian lain yang disediakan adalah bengkel dan aktiviti yang dibahagikan kepada empat kawasan merujuk kepada empat unsur asas dalam kehidupan seharian iaitu pakaian, makanan, perumahan dan pengangkutan.

“Orang ramai yang bercadang menghadiri sambutan boleh menggunakan pengangkutan awam perkongsian kenderaan – Van DRT (Demand-Responsive Transit) Mobiliti Selangor yang disediakan untuk membawa penumpang dari 60 lokasi sekitar Serdang ke IOI City Mall dengan caj serendah RM2.

“Muat turun aplikasi “Trek App” untuk mendapatkan jadual lokasi dan waktu operasi Van DRT Mobiliti Selangor ketika sambutan perayaan ini melalui Apple App Store atau Google Play Store,” ujarnya. – MalaysiaGazette