Lelaki dakwa bakar kereta polis bantuan tular di media sosial dalam kejadian yamg berlaku di Petaling Jaya awal pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Entah apa masalahnya, seorang lelaki dikesan telah memuat naik video di TikTok sambil mendakwa dia bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan dalam kejadian difahamkan berlaku awal pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam lebih kurang 1 pagi.

Lelaki yang tampil dengan memakai helmet itu memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia berdiri berlatar belakangkan kenderaan polis bantuan yang sedang terbakar.

Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis dengan status tag #polistakdekeje’ dalam Tik Tok itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Majid ketika dihubungi tengah hari tadi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Pihak polis ada buat tangkapan berkaitan kejadian ini dan akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung perkara ini,” katanya secara ringkas.-MalaysiaGazette