KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada seniwati, Datuk Sarimah Ahmad dan seniman, Dharma Harun Al-Rashid yang mengalami masalah kesihatan.
Sumbangan tersebut disampaikan menerusi Setiausaha Politik beliau, Farhan Fauzi yang menziarahi senimat dan seniwati itu bagi membantu urusan harian dan perubatan mereka.
Anwar berkata, Sarimah dan Dharma yang pernah terkenal dalam pentas layar negara menerusi karya masing-masing kini diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.

“Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, Insya-Allah,” katanya menerusi hantara Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Sarimah, 82, mendedahkan bahawa beliau menghidap kanser kolon tahap tiga pada disahkan menghidap penyakit itu dua tahun lalu.
Penyakit tersebut diketahuinya apabila mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan selepas dia ditemui pengsan di dalam bilik air oleh anaknya.
Namun seniwati itu memaklumkan dia kini sudah bebas daripada penyakit tersebut tersebut selepas melakukan pembedahan.
Sementara itu, Dharma, 68, pula menghadapi kesukaran bertutur dengan lancar, termasuk menghidap asma selepas mengalami serangan angin ahmar pada 2019 lalu menyebabkan beliau tidak boleh aktif dalam karier seni. – MalaysiaGazette















