Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat bagi membincangkan skop undang-undang syariah di Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan itu akan diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, langkah mengadakan persidangan itu adalah bagi mencadangkan tindakan-tindakan susulan bagi memperkasakan kedudukan perundangan syariah khususnya dan memelihara kepentingan umat Islam amnya.

“Persidangan Meja Bulat dan Jawatankuasa Teknikal ini akan melibatkan penyertaan pakar-pakar perlembagaan dan perundangan Islam, para ulama’, ilmuwan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan mengadakan persidangan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan malam tadi yang dihadiri presiden parti-parti gabungan.

Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Februari lalu.

“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Negeri Sembilan
sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast