Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap semasa mengadakan Sidang Media mengenai situasi semasa Jenayah Komersial di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Lapan individu termasuk empat warga Taiwan yang cuba mewujudkan hab sindiket penipuan pusat panggilan di Malaysia berjaya ditahan selepas serbuan di dua premis di ibu negara baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, empat suspek lelaki warga Taiwan yang ditahan itu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara itu kerana didapati terlibat dengan jenayah terancang dan penipuan.

Menurutnya, tangkapan semua suspek berusia antara 31 hingga 44 tahun pada 30 Januari lalu itu hasil kerjasama pihak polis Taiwan.

“Semua suspek Taiwan itu disyaki baru sehari dua tiba di Malaysia dan dipercayai dalam usaha mewujudkan hab penipuan mereka di sini namun kami berjaya menangkap mereka sebelum berjaya bertapak di Malaysia.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 13 Februari lalu untuk proses tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli menambah, dalam serbuan itu polis juga merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set dokumen, tiga passport, dua kad akses selain menyita dua buah kereta daripada sindiket itu. – MalaysiaGazette