Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  “Tolong jangan terpedaya dengan penipuan (pelaburan) di media sosial, dah berbuih mulut kami nasihat!”.

Itu teguran dan nasihat daripada daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berikutan trend peningkatan jenayah komersial sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, belum cukup dua bulan menginjak ke tahun baharu namun kes penipuan komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus membabitkan kerugian lebih RM 558.66 juta setakat 11 Februari.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 3,530 kes dan nilai kerugian RM181.71 juta tahun ini meningkat kepada 4,741 kes dengan nilai kerugian mencatatkan peningkatan 207.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Saya ingatkan kepada semua tuan-tuan dan puan-puan sebelum menagih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan  meminta kami menyiasat, terlebih dahulu tuan puan semua jangan mudah terpedaya dengan apa jua iklan pelaburan dalam media sosial,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan kemajuan teknologi masa kini telah membawa banyak manfaat namun kemudahan itu sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang cakna dengan isu semasa.

Beliau menyeru orang awam agar jangan melayan sebarang tawaran pelaburan atau panggilan telefon yang menawarkan keuntungan yang tidak masuk akal diiklankan dalam media sosial atau menerusi panggilan.

“Jangan angkat panggilan melainkan panggilan daripada pihak bank yang (anda) pernah berurusan ataupun daripada rujukan yang disahkan.

“Jangan dilayan terus, jangan angkat telefon membabitkan panggilan tak dikenali…tak ada ruginya bila tidak angkat telefon, walaupun (kononnya) dari agensi kerajaan dan sebagainya.

“Jika mereka (agensi) berkenaan mahu berurusan dengan kita biar mereka menghantar surat notis ke rumah atau pejabat kerja kita, tidak perlu ‘pegawai’ mereka menghubungi kita,”  tegasnya lagi.

Ramli juga menjelaskan bahawa , orang ramai diingatkan lebih berhati-hati ketika menekan pautan dalam talian walaupun daripada orang yang dikenali bagi mengelak menjadi mangsa perisian intip atau spyware bagi memancing data atau phishing.

“Jangan klik apa-apa pautan walaupun jemputan perkahwinan sekalipun, walaupun daripada orang yang kita kenal kerana banyak kes phishing dan sebagainya.

“Biarlah mereka hubungi kita secara terus, back to basic lagi bagus kerana walaupun teknologi sudah semakin canggih tetapi kecanggihan itu boleh bawa kerugian yang boleh akibatkan anda menyesal.

“Mungkin ramai menganggap peringatan ini mungkin dianggap keterlaluan namun mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

“Pendekatan untuk tidak berinteraksi langsung apabila menerima panggilan tidak dikenali atau pautan meragukan lebih baik daripada kerugian harta dan wang ringgit.-MalaysiaGazette