PUTRAJAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres kelas eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan manakala bagi kelas ekonomi dikawal selia dan ditetapkan kerajaan.
APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan ketetapan jadual tambang, syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres dipertanggungjawabkan untuk mengenakan tambang yang bersesuaian selari dengan jenis perkhidmatan ditawarkan.
“APAD ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk membuat pilihan bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket adalah berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang,” menurut kenyataan itu.
Pada 11 Februari lepas, media melaporkan sepasang suami isteri terpaksa membayar lebih RM800 untuk perjalanan dua hala dari Gopeng ke Johor Bahru.
Merujuk kepada insiden yang tular itu, APAD menjelaskan pengadu memilih perkhidmatan bas ekspres eksekutif, iaitu harga dibayar berdasarkan penawaran dan permintaan bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina.
Media melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa pengguna terbabit dikenakan bayaran antara 270 dan 344 peratus berbanding harga biasa RM70 untuk setiap penumpang bagi satu hala.
Sementara itu, APAD memaklumkan pengendali perkhidmatan bas tidak boleh menaikkan harga tambang ekonomi tanpa kebenaran.
“Tindakan tegas boleh dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap ketetapan ini dengan tindakan berlandaskan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) iaitu sama ada penggantungan atau pembatalan lesen,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA