PERMATANG PAUH – Mesyuarat Jemaah Menteri belum membincangkan soal larangan warga asing membeli barangan bersubsidi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini jemaah menteri lebih fokus kepada perbincangan mengenai penyasaran semula subsidi kepada golongan memerlukan dengan mengutamakan rakyat Malaysia.

“Dalam mesyuarat jemaah menteri setakat ini kita belum bincang secara terperinci tentang perkara itu (larangan warga asing membeli barangan bersubsidi namun ia ada sebut di luar (mesyuarat).

“Bagaimanapun, sebarang perkiraan kerajaan akan meneliti secara keseluruhan agar manfaat program subsidi ini ditujukan kepada kumpulan yang paling memerlukan.

“Dalam hal ini, semestinya kita mengutamakan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan beras putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal, Fahmi berkata, perkara itu akan dibincangkan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu depan.

Media sebelum ini melaporkan langkah kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini menimbulkan banyak persoalan kepada para peserta industri.

Persoalan itu timbul kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mahupun agensi-agensi berkaitan tidak pernah memanggil pemain-pemain industri untuk berbincang apatah lagi berunding mengenai perkara ini. – MalaysiaGazette