BUKIT MERTAJAM – Kerajaan bersedia membawa usul meminda Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Mahkamah Syariah ke Parlimen bagi memperkasakan mutu mahkamah serta memartabkan lagi agama Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu hanya akan dibawa selepas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) memperhalusi cadangan semua negeri berkaitan isu berbangkit selain diperkenankan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Seperti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dan saya juga bersetuju untuk MKI mengemukakan cadangan bagi memperbaiki mutu mahkamah syariah.
“Jumpalah siapa pun tak kira ulama, mufti menteri besar semua negeri meskipun berbeza parti (politik) agar semua dapat mengemukakan pandangan masing-masing.
“Kita ambil sikap terbuka dalam hal ini agar cadangan semua pihak itu diteliti MKI dan dibawa untuk perkenan Raja-Raja Melayu sebelum dijadikan RUU untuk dibawa ke Parlimen bagi mendapatkan persetujuan Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit di sini, hari ini.
Tambah Anwar, setiap negeri mempunyai had untuk merangka undang-undang namun ia tidak boleh melangkaui kuasa Persekutuan.
“Jangan buat tafsiran serta fitnah dari segi politik dalam bantahan seorang peguam (Nik Elin) yang kebetulan ahli Muafakat Nasional itu.
“Dia (Anwar) sekular, liberal orang lain kata tak apa tapi kalau orang Permatang Pauh yang kata saya sedih sedangkan bantahan itu dikemukan sebelum saya dilantik menjadi perdana menteri kenapa ketika itu pihak sebelah (pembangkang) tidak lakukan protes
“Apa-apapun dalam hal ini kita tok sah (tak perlu) gaduh yang kita perlu buat sebenarnya beri ruang untuk baiki serta perkasakan lagi mutu mahkamah syariah,” tegas beliau. – MalaysiaGazette