Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan hadir ke mahkamah atas didakwa berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa dan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam pertuduhan rasuah dan enam lagi pendakwaan  pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen akan dibicarakan bersama.

Hakim, Suzana Hussin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, hari ini.

Terdahulu, Farah ketika membuat permohonan berkenaan berkata semua pertuduhan melibatkan transaksi dan dokumen yang sama.

“Permohonan ini dibuat kerana melibatkan transaksi yang sama,” katanya.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 27 Mac sebagai tarikh sebutan status dokumentasi untuk persediaan perbicaraan.

Pada 21 Februari tahun lalu, Adam Radlan yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat dituduh di mahkamah sesyen atas satu tuduhan meminta suapan wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Beliau turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Hari berikutnya, beliau didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Kemudian pada 28 Februari tahun sama, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara.

Seterusnya pada 25 Oktober 2023, beliau dituduh lagi di Mahkamah Sesyen kerana mengunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.

Adam Radlan didakwa di Mahkamah Sesyen sekali lagi pada 9 November, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta.- MalaysiaGazette