PADU
Masyarakat setempat mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8 Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 1.2 juta penjawat awam di seluruh negara telah selesai mengemaskini profil sosioekonomi di Pangkalan Data Utama (PADU) setakat 15 Februari 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sehingga kini bilangan pengemaskinian individu berdaftar secara kumulatif di Malaysia adalah 3.43 juta.

Angka ini meliputi warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan lebih serta pemastautin tetap.

“Pendaftaran PADU berbaki 43 hari akan dibuka sehingga 31 Mac 2024. Rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak melaksanakan pengemaskinian PADU pada saat-saat akhir kerana ia akan mengakibatkan kesesakan pada sistem.

Jabatan Perangkaan telah menjalin kerjasama strategik bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-baru ini bagi membolehkan 60 buah Perpustakaan Desa (PD) dijadikan sebagai pusat pendaftaran tambahan untuk PADU di samping lebih 900 Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Sementara itu, bagi membantu pengemaskinian secara kendiri, sila hubungi talian hotline 1-800-88-7720 / 21 yang beroperasi bermula 8 pagi sehingga 9 malam setiap hari.

Sebarang maklum balas, aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan penambahbaikan berkenaan sistem dan
mekanisme pelaksanaan PADU boleh disalurkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) PADU https://padu.spab.gov.my. – MalaysiaGazette