Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media mengenai menangani denggi di Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 15 JANUARI 2024.

CYBERJAYA – Kementeterian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 18 mangsa kebocoran gas ammonia di Shah Alam berada dalam keadaa stabil.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah mangsa, 14 daripada hanya bergejala ringan.

“(Sejumlah) 18 mangsa telah dibawa ke tiga buah hospital berasingan untuk rawatan selanjutnya, lima di Hospital Tengku Ampunan Rahiman, Klang dan 10 di Hospital Shah Alam dan tiga di Hospital Sungai Buloh.

“Keadaan mereka stabil dan ada bergejala tapi 14 daripada itu hanya bergejala ringan dan boleh dirawat sebagai pesakit luar,” katanya kepada media dalam sidang media sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia di Universiti Cyberjaya, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Semalam, 33 pekerja kilang mengalami sesak nafas apabila terhidu gas ammonia di kawasan Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7 Shah Alam.

Ia ekoran sebuah forklift terlanggar injap tangki gas ammonia di kilang tersebut.

Jelas Dzulkefly lagi, empat mangsa telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Empat mangsa dirawat, satu di Hospital Shah Alam kerana mengandung dan satu ibu mengandung di STAR, dan dua mangsa di Hospital Sungai Buloh dan mungkin dibenarkan pulang hari ini.

“Semua stabil, tidak ada yang masuk unit rawatan rapi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette