Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan untuk menyemak cadangan pengenalan satu gred beras putih Madani Malaysia di Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan seterusnya mendapat kelulusan Kabinet adalah proses yang betul.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai isu tersebut.

“Ini satu cadangan yang baik. Biasa proses macam inilah, ada perbincangan dengan NACCOL lepas itu pergi kepada Kabinet. Kemudian barulah perdana menteri atau menteri buat pengumuman.

“Ia mengikut proses yang betul. Pemegang taruh boleh memberikan pendapat. Di NACCOL pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan bentang kertas cadangan dengan ulasan. Inilah cara dia,” kata Ameer.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berterima kasih kepada perdana menteri dan menteri kerana membuat penjelasan mengenai isu tersebut.

Beliau dan ramai ahli perniagaan sebelum ini keliru dengan pengumuman yang dibuat Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal seolah-olah negara akan menjual satu gred beras sekali gus menghapuskan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI).

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera itu menjangkakan kerajaan tidak akan menghapuskan SSI kerana pengeluaran beras tempatan masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

“Saya rasa keputusan di NACCOL dan Kabinet akan sama. Kalau kita mansuhkan SSI, bekalan beras nak dapat kat mana? Sebab kita punya kapasiti pengeluaran tidak sampai 60 peratus.

“Macam-mana kerajaan ikthirkan, cadangkan, akhirnya barang itu (beras) kalau tak ada, tak boleh buat.

“Kita ini berniaga kalau semua (beras) boleh jual RM30 lebih baik untuk kita. Sebab lebih banyak beras boleh dijual, kalau kita dapat untung RM1 satu kampit lebih daripada cukup untuk kita tetapi kita kena sedia maklum dan kena faham situasi global dan dalam negara,” katanya.

Sementara itu Ameer turut menjangkakan walaupun harga beras tempatan dinaikkan kepada RM30 hingga RM32 ia masih tidak boleh menampung permintaan.

Ini kerana perbezaan harga antara beras tempatan dan import begitu ketara berbanding sebelum ini dan pengeluaran padi tempatan kurang 60 peratus daripada permintaan.

“Nak pergi normal macam dulu mungkin tak. Sebab beza harga itu jauh sangat. Dulu beras tempatan RM26 beras import pula RM30 hingga RM32. Beza tak jauh.

“Sekarang walaupun kita jual RM30 tapi harga beras import RM40. Kalau beza itu jauh sukar nak tampung (permintaan) dalam pasaranlah,” kata beliau.

Mohamad Sabu hari ini berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan mewujukan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.

Cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat NACCOL seperti yang diulas Anwar semalam.

Syed Abu Hussin yang mengetuai Task Force (Kluster Makanan) NACCOL sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Ia sekali gus bermakna tiada lagi kategori SST dan SSI melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Jika beras putih Madani sebagai tunggal kerajaan harus buka cadangan *pemerintahan kerajaan* itu sendiri tidak tunggal. Sebab sebelum ini kerajaan tunggal memberi permit tunggal kepada Bernas dan tiada sejarah beras murah tiada di pasaran. Datang kerajaan hari ini buka dan terbuka AP beras… ambil kau jadi mahal dan beras tiada!

    • Betul. Bukti tak semua open tender itu bagus. Syarikat bumiputera saja yg betul2 ikhlas utk negara.

Comments are closed.