KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan mengemukakan tuntutan sebanyak RM38 juta kepada sebuah pemaju projek pembinaan hotel berdekatan Stesen Bandaraya, di sini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan kerja-kerja pembinaan sebuah hotel telah menyebabkan kerosakan struktur jejambat dan landasan LRT berhampiran Stesen Bandaraya.
“Kos yang perlu dibayar Prasarana akan dituntut dengan pihak pemaju atau pemilik tapak bangunan tersebut.
“Ia termasuk kos pembaikan dan kos lain yang ditanggung Prasarana kerana perlu menyediakan perkhidmatan bas perantara.
“Keseluruhan kos yang telah pun dituntut oleh Prasarana akan dihantar kepada pihak pemaju ialah sebanyak RM38 juta,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau membuat tinjauan melihat tiga struktur jejambat landasan LRT berdekatan Stesen Bandaraya yang terjejas teruk hingga penutupan laluan itu sejak setahun lalu.
Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari 2023 atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.
Jelas Loke, bagi mengelakkan dua stesen itu ditutup lebih lama, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan terlebih dahulu sebelum tuntutan pampasan dilakukan.
“Kalau tunggu pampasan sebelum kita buat kerja sudah tentu gangguan lebih lama kita tanggung.
“Apa yang kita telah laksanakan ialah kita buat dulu kerja pembaikan, selepas itu baru kita tuntut pampasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette