JAKARTA – Seorang penumpang cedera apabila sebuah pesawat ATR ditembak oleh kumpulan penjenayah bersenjata dalam kejadian di Daerah Yahukimo, wilayah Highland Papua, Indonesia pada Sabtu.
Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas kumpulan sama menyasarkan pesawat Cessna Grand Caravan milik Asian One Air di Lapangan Terbang Milawak di Beoga, Daerah Puncak, Papua Tengah.
Ketua polis Yakuhimo, Asisten Komisioner Polis Heru Hidayanto berkata, seorang anggota keselamatan yang duduk di kerusi 19A cedera ringan di leher selepas terkena serpihan dinding pesawat.
“Pesawat Wings Air itu ditembak dari sebelah kiri, dengan peluru menembusi badan pesawat pada kira-kira 1.20 petang waktu tempatan ketika ia sedang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Nop Goliat Dekai,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Susulan serangan itu, pasukan keselamatan melancarkan pencarian menyeluruh di kawasan sekitar yang disyaki menjadi lokasi tembakan, namun kumpulan yang bertanggungjawab tidak ditemui.
“Kami meneruskan siasatan kami untuk mendedahkan motif dan mengenal pasti pelaku serangan itu. Kami komited sepenuhnya untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya. – Bernama