Gambar hiasan

Saudara Pengarang,

Masalah terputus bekalan air bukanlah perkara baharu di Pulau Langkawi khususnya di Kuah.  Malah isu sudah menjadi tidak asing lagi kepada penduduk setempat terutamanya kepada warga Maktab Rendah Sains MARA Langkawi di Ayer Hangat.

Lebih membimbangkan sejak Januari lalu negara kita sedang berdepan dengan cuaca El Nino yang menyebabkan cuaca panas terik dan kekurangan hujan di sebelah utara tanah air. Malah, laporan media tentang keadaan paras air di Sungai Melaka yang dikeluarkan pada 5 Februari lalu turut menambah kegusaran.  Untuk makluman, sejak Januari lalu lebih kurang 700 orang  pelajar MRSM Langkawi telah melalui satu episod kekurangan bekalan air yang panjang di mana sepanjang tempoh peperiksaan akhir penggal yang lalu. Mereka terpaksa mengangkut air dari lori tangki yang dibekalkan oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan harian yang mana keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu emosi, mental dan fizikal anak-anak. Walaupun sudah lali berdepan dengan masalah ini tetapi menurut anak-anak yang terlibat, kali ini merupakan yang terburuk dan paling lama. Bukan saja terpaksa mencatu kegunaan air malahan terpaksa menahan diri untuk membuang air besar kerana tangki tandas tiada air untuk dipam.

Keadaan ini bertambah rumit untuk pelajar-pelajar perempuan yang terdiri daripada anak-anak gadis yang baru meniti usia akhil baligh di mana mereka perlu menguruskan diri ketika datang haid. Penulis sendiri mempunyai anak perempuan dan memahami bagaimana sukarnya untuk mencuci kotoran ketika datang haid yang tidak tentu masa dan ketika. Itu belum dikira baju-baju kotor yang perlu dicuci setiap hari kerana dobi layan diri di dalam Maktab juga tiada bekalan air. Justeru ibu bapa terpaksa mencari alternatif lain dengan menggunakan khidmat runner untuk khidmat pengurusan dobi di luar Maktab dan sudah tentu ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih.

Tidak lama lagi Ramadan akan menjelang dan serentak itu para pelajar baru dan lama akan mula mendaftar untuk sesi persekolahan 2024/2025. Apa yang menjadi kebimbangan ibu bapa dan waris para pelajar ialah bagaimana para pelajar hendak menguruskan diri dalam bulan puasa yang panas dan kering dengan ketiadaan bekalan air yang mencukupi untuk keperluan harian serta melaksanakan amal ibadat sedangkan dalam Islam sendiri kebersihan itu sebahagian daripada iman? Ya betul. Memang diakui pihak SADA ada menyediakan lori tangki yang menghantar bekalan air ke Maktab tetapi ia tidak mencukupi dan ada kalanya air tidak sampai sepenuhnya ke tangki-tangki tandas. Ini yang amat dibimbangkan kerana jika persekitaran tandas dan asrama pelajar kotor maka kuman mudah membiak dan penyakit mudah tersebar. Kami juga telah sedia maklum pihak MUAFAKAT MRSM Langkawi juga telah mengambil inisiatif membeli stok air mineral untuk para pelajar tetapi sampai bila perkara ini boleh dilakukan kerana duit yang digunakan itu datang dari tabung kutipan ibu bapa.

Oleh kerana kegusaran ibu bapa terhadap isu ini, maka kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) sepanjang  bulan Ramadan untuk pelajar-pelajar tingkatan 2 dan 3 telah dicadangkan kepada pihak Maktab. Ini kerana mereka semua tidak terlibat dengan peperiksaan penting pada tahun ini dan juga untuk memberikan laluan kepada adik-adik junior untuk mendaftar dan memberi peluang kepada senior-senior yang ada peperiksaan penting untuk menggunakan air di masa-masa kritikal ini. Kami difahamkan pihak maktab telah pun memohon kepada pihak Bahagian Pendidikan MARA (BPM) bagi mengadakan PDPR untuk para pelajar yang telah disebutkan tadi tetapi malangnya permohonan tersebut tidak diluluskan. Yang menjadi persoalannya di sini, kami sebagai ibu bapa tertanya-tanya dan terpinga-pinga serta ingin mengetahui secara bertulis dan formal:

1. Mengapa permohonan PDPR ini tidak diluluskan sedangkan pihak MARA, Maktab dan MUAFAKAT sendiri telah sedia maklum isu yang kian meruncing di MRSM Langkawi.

2. Mengapa alasan yang diberikan oleh oleh pihak MARA menerusi pihak Maktab ialah PERMOHONAN KELAS PDPR BAGI PELAJAR TINGKATAN 2 DAN TIGA TIDAK DILULUSKAN OLEH PIHAK BPM MEMANDANGKAN SESI PENGAJIAN 2024/2025 BAHARU SAHAJA BERMULA. Ini kerana pada Januari lalu, MRSM Kota Putra Besut juga telah mengalami gangguan air tetapi para pelajar dibenarkan untuk PDPR sedangkan peperiksaan akhir sudah hampir pada ketika itu. Bolehkan pihak MARA khususnya pihak BPM memberi justifikasi secara bertulis dan formal mengenai dua keadaan ini untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham yang berpanjangan?

3. Jika pihak MARA merasakan tiada keperluan untuk PDPR sepanjang bulan Ramadan ini, apakah jaminan pihak MARA dan Maktab agar keperluan air anak-anak ini mencukupi untuk sepanjang Ramadan tanpa perlu bercatu terutamannya untuk makanan, minuman dan kebersihan?

4. Isu air ini telah bertahun-tahun membelenggu rakyat Kedah khususnya di Kawasan Langkawi. Pelbagai alasan seperti cuaca kering dan paip bocor diberikan oleh pihak SADA. Tetapi yang peliknya kawasan pelancongan, hotel, resort dan homestay tidak pula mengalami gangguan air. Justeru apakah pelan jangka pendek dan panjang yang telah dirangka oleh pihak MARA dan Maktab untuk mengatasi masalah air di Maktab selain bergantung harap pada SADA? Kami berharap penjelasan dapat diberikan secara  telus kepada ibu bapa dan bukan hanya melalui wakil ibu bapa untuk mengelakkan salah faham dan percanggahan maklumat.

5. Kami juga amat berterima kasih kepada Pengerusi MARA iaitu YBhg Datuk Wira Ashraf Wajdi Dusuki kerana ambil maklum tentang permasalahan ini dan dalam lawatan beliau ke Maktab pada tahun lalu, beliau telah mengumumkan bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri dan Majlis MARA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM960 ribu untuk kerja-kerja tambah baik infrastruktur, penggantian alat-alat perkakas termasuklah kerja-kerja membaikpulih saluran air bersih dan tangki air Maktab. Namun begitu apakah status peruntukan dan penambahbaikan tersebut?

6. Namun apa yang lebih penting pada ketika ini ialah kami memerlukan campur tangan YBhg Datuk Wira Pengerusi untuk memberikan kebenaran kepada para pelajar yang terlibat untuk PDPR sepanjang bulan puasa ini demi untuk menjamin keselesaan dan keselamatan mereka dan apa yang paling utama ialah mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk dan tawaduk.

7. Kami juga telah dimaklumkan ramai ibu bapa yang telah berhubung dengan YBhg Datuk Wira Pengerusi menerusi pelbagai saluran seperti email, Facebook dan whatsapp mengenai masalah air dan PDPR ini namun tiada jawapan diberikan. Sebagai Pengerusi MARA yang cakna kepada para pelajar MARA, maka kami memohon respon segera YBhg Datuk Wira Pengerusi dalam perkara ini.

Kami sebagai ibu bapa telah cuba sehabis baik untuk berkomunikasi dengan pihak MARA dan Maktab mengenai isu ini kerana kami sebagai waris pelajar selama ini sangat menyokong segala tindakan dan cara pihak MARA serta Maktab mencorakkan anak-anak kami tetapi jika ada sebarang isu atau perkara yang serius berlaku, kami ibu bapa merasakan perlunya ketelusan daripada pihak MARA dan Maktab berkomunikasi dengan para waris dan bersikap professional memandangkan reputasi MARA sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang telah terbukti melahirkan insan-insan yang berjaya. Malahan MRSM Langkawi kini menduduki rangking pertama dalam keseluruhan Maktab. Jadi janganlah biarkan isu yang remeh-temeh mencalar imej dan kreadibiliti MARA dan Maktab.

Untuk makluman pihak YBhg Datuk Wira Pengerusi dan pihak Maktab, kami para waris sedia berkorban wang ringgit untuk pengangkutan tiket kapal terbang dan apa-apa sahaja untuk keselesaan anak-anak kami belajar di Langkawi dan kebanyakan daripada kami bukannya semua datang daripada golongan T20 yang mempunyai pendapatan tinggi. Oleh yang demikian, perancangan ataupun pemakluman awal mengenai kepulangan anak-anak ke rumah dan Maktab adalah sangat penting buat kami untuk mengatur perbelanjaan pengangkutan dan makan minum mereka. Oleh itu, saya merayu dan memohon kepada pihak MARA dan Maktab mengambil berat tentang sebarang arahan, perubahan tarikh ataupun apa-apa sahaja perkara yang melibatkan pengangkutan, aktiviti dan kebajikan anak-anak.

Justeru, saya sebagai salah seorang ibu bapa yang terkesan dengan permasalahan di MRSM Langkawi ingin memohon sekali lagi jasa baik dan pertimbangan daripada pihak MARA terhadap isu ini dan sekiranya tiada jaminan terhadap masalah yang melanda, saya berharap agar pihak MARA dapat meluluskan PDPR untuk para pelajar tingkatan 2 dan 3 sebelum sesi  2024/2025 bermula. Terima kasih.

— WARIS CAKNA