Himpunan Selamatkan Malaysia
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sesi libat urus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun berada di peringkat akhir.

“Setakat ini libat urus yang dilakukan telah berjalan dan semua negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri telah dijemput menghadiri sesi libat urus tersebut.

“Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff bahawa libat urus itu di peringkat akhir, jadi laporan belum lagi disediakan dan mereka akan sediakan laporan libat urus itu kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan kertas cadangan rang undang-undang itu sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara, namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022. – Bernama