Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersetuju untuk menjemput Isham Jalil, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Lim Sian See sebagai tetamu dalam podcast kendalian beliau.

Rafizi berkata, beliau telah mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung jemputan tersebut.

“Saya wajar menghormati pandangan mereka (Anwar dan Ahmad Zahid), demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani.

“Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See.

“Begitu juga dengan Isham Jalil, hatta Puad Zakarshi pun. Saya pun berminat untuk mendengar idea-idea mereka untuk membantu negara mengemudi suasana ekonomi dunia yang mencabar sekarang ini,” kata beliau.

Rafizi berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menjemput ketiga-tiga individu yang disifatkan kini menjadi ayam tambatan ‘Perikatan Nasional’.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka akan dijemput menjelang Mac kerana ketika ini beliau sedang menjalani rawatan berikutan pembedahan tulang belakang yang dijalani ketika ini.

“Dalam kerjaya saya, saya telah hadir dan bersemuka dalam pelbagai perdebatan, forum dan lain-lain. Malah saya pernah mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat pun sebelum Pilihan Raya Umum yang lepas.

“Kini watak-watak seperti Isham Jalil, Lim Sian See dan Puad Zakarshi menjadi ayam tambatan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering menyerang saya (dan kerajaan).

“Sedangkan mereka ini adalah penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak (yang partinya adalah sebahagian dari Kerajaan Madani),” kata Rafizi dalam kenyataan yang ditulis ketika sedang menjalani rawatan di hospital.

Timbalan Presiden PKR itu mendakwa, ketiga-tiga individu terbabit kini menjadi pujian aktivis maya PN sedangkan tidak ada seorang pun pemimpin atau aktivis maya parti itu berani hadir bersemuka dengan beliau.

Rafizi turut mendakwa Isham, Mohd. Puad dan Lim Sian See mempunyai agenda selepas menawarkan diri untuk menjadi tetamu program Yang Bakar Menteri.

“Mereka juga tahu saya terikat dengan tertib bersama dalam kerajaan, yang bermakna saya tidak bebas menyatakan sesuatu yang boleh menimbulkan kekeruhan dengan UMNO, iaitu salah satu parti yang menganggotai Kerajaan Madani.

“Tetapi jika saya tidak bersuara mengenainya, yang lebih galak ialah pimpinan dan aktivis maya PN,” kata beliau.

Sebelum ini Isham, Lim Sian See dan Mohd Puad mencabar Rafizi untuk menjemput mereka ke podcast YBM berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu dan Timbalan Presiden PKR itu dulu mencadangkan pelbagai formula untuk memulihkan ekonomi.-MalaysiaGazette