KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya pada tahun ini, pada kadar yang lebih tinggi antara 4.4 peratus dan 4.8 peratus, menurut bank-bank pelaburan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar 2024 Malaysia pada 4.4 peratus, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, eksport barangan dan perkhidmatan yang meningkat semula dan momentum pertumbuhan pelaburan yang positif.
“Berdasarkan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan pasaran pekerjaan yang stabil, selain langkah-langkah pendapatan Belanjawan 2024 untuk mengimbangi prospek inflasi yang tinggi, kami menjangka perbelanjaan pengguna akan berdaya tahan pada tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, ia menjangka eksport barangan dan perkhidmatan meningkat semula berikutan terdapatnya tanda-tanda sektor pembuatan pulih, didorong oleh kenaikan industri teknologi dan momentum pemulihan sektor pelancongan yang berterusan.
Pelaburan sektor swasta yang diluluskan yang kukuh berjumlah lebih RM250 bilion setahun sejak 2021 diterjemahkan kepada pelaburan swasta sebenar atau direalisasikan yang meningkat dan kemajuan projek infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan serta projek baharu yang sedang menunggu kelulusan atau sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan akan menyokong momentum pertumbuhan pelaburan, menurut Maybank IB.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangka ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 4.8 peratus tahun ke tahun, diterajui oleh perbelanjaan isi rumah, pemulihan dalam sektor pelancongan dan realisasi pelaburan yang berterusan.
“Persekitaran kadar faedah global yang rendah, angka inflasi yang susut dan aktiviti perdagangan yang pulih turut dijangka menyokong pertumbuhan.
“Aktiviti pelancongan yang semakin baik, pemulihan daripada penurunan sektor teknologi dan permintaan luar yang kukuh akan memberikan sokongan kepada eksport.
“Sementara itu, pertumbuhan pekerjaan dan gaji yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Mengenai inflasi, HLIB terus menjangka BNM akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus untuk sepanjang tahun ini susulan jangkaan bank pusat itu bahawa inflasi keseluruhan dan teras akan kekal sederhana pada 2024.
Menurut Public Investment Bank Bhd, prospek Malaysia yang baik akan meningkatkan pertumbuhan KDNK sebenar negara kepada 4.7 peratus pada 2024, semakan semula daripada unjuran awal sebanyak 4.5 peratus.
“Prospek dilihat baik apabila ekonomi global bersedia untuk menghadapi potensi situasi tidak menentu, dijangka diimbangi oleh pelaksanaan inisiatif strategik Malaysia seperti Belanjawan 2024, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, semuanya sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI.
“Penjajaran ini dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan, pelaburan yang mampan dan prospektif serta eksport elektronik yang meningkat semula dalam persekitaran pemulihan kitaran teknologi,” menurut Public Investment Bank. – BERNAMA