Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak berkepentingan yang bersifat rentas parti perlu diberi ruang untuk sama-sama memberi pandangan berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan hasrat untuk mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.

“Pas mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen pada tahun ini.

“Pas berharap semua pihak berkepentingan bersifat rentas parti seharusnya dijemput untuk turut memberi pandangan dan buah fikiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sesi libat urus mengenai RUU 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas memberi sokongan penuh terhadap inisiatif dijalankan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bercadang meminda perlembagaan itu bagi mengatasi kekaburan rakyat.

Katanya, polemik dan perdebatan yang berlaku dalam masyarakat terutamanya orang Islam berkaitan kedudukan serta masa depan undang-undang syariah menuntut penyelesaian segera bagi menghindari kesan buruk lebih besar.

Tambah beliau, polemik itu berpunca daripada keputusan dan alasan penghakiman mahkamah yang menyaksikan undang-undang syariah negeri bukan sahaja tercabar serta terbatal seterusnya, terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa depan.

“Sebagai sebuah masyarakat Islam yang menerima syariah bukan sahaja sebagai suatu tanggungjawab tetapi juga hak agama, Pas percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan.

“Dalam hal ini, Pas yakin Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara, negeri-negeri yang memikul peranan sejarah yang utama sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai dan susila serta perpaduan dan kerukunan umat akan terus mendapat sokongan dan dukungan daripada rakyat jelata terutama umat Islam,” tambahnya.

Ujar beliau, Pas akan terus komited pada saranan al-Quran supaya bekerjasama, bertolong-tolongan (ta’awun) dalam perkara yang membawa kepada kebaikan dan taqwa dalam semua usaha ke arah menzahirkan sebuah negara yang makmur serta mendapat keampunan Tuhan. – MalaysiaGazette