Tiga lelaki yang ditahan oleh Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup 6000 liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika utara Pulau Langgun berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dengan menahan tiga lelaki tempatan malam tadi.

Pengarah Maritim negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, nelayan terbabit diberkas ketika sedang berada di dalam sebuah sebuah bot pukat tunda kelas C yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Langkawi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang
asing yang dibuat di atas bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.

“Anggota penguatkuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan itu dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan disyaki untuk aktiviti penyeludupan minyak subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semakan ke atas minyak tambahan yang dibawa itu dianggarkan sebanyak 6,000 liter dengan nilai hampir RM13,000.

Susulan itu, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun telah ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette