Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan kawasan khas merokok berhampiran premis makanan sebagai satu lagi langkah ‘U-turn’ oleh Kerajaan Madani.

Menurut Ketua Biro Pertubuhan Bukan Kerajaan parti itu, Jimmy Chew Jyh Gang, ini kerana langkah tersebut bertentangan dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019 yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran menerusi Menteri Kesihatan yang sama iaitu Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad.

“Kononnya mereka tidak kisah dimaki hamun dan sangat mengambil berat kesihatan rakyat serta komited untuk mempertahankan persekitaran yang sihat, supaya kesihatan setiap lapisan rakyat terbela.

“Tetapi hari ini, mereka ingin mempertimbangkan semula untuk memperkenalkan kawasan khas merokok? Adakah Kerajaan Madani hari ini sudah tidak komited lagi untuk mewujudkan persekitaran bebas asap rokok,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, cadangan tersebut akan memberi impak negatif sekali gus dilihat memusnahkan usaha kerajaan yang mahu melahirkan generasi bebas rokok.

“Sepatutnya KKM di bawah Kerajaan Madani hari ini berusaha untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan bukannya memberi alasan bahawa undang-undang ini tidak boleh dikuatkuasakan atas klausa tidak berperlembagaan dan boleh membawa kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan,” katanya lagi.

Terbaharu, Dzulkifli memaklumkan cadangan mewujudkan kawasan khas merokok masih belum muktamad.

Ujarnya, KKM melalui libat urus sedia mendengar pandangan dan syor yang diberikan daripada pelbagai pihak.-MalaysiaGazette