Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengeluarkan kenyataan “Black Friday” dibuatnya selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan terbatal disifatkan sebagai cubaan menghasut rakyat.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan turut menyifatkan kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Takiyuddin yang juga adalah peguam kerana ia adalah sesuatu yang tidak sesuai.

“Bila anakguam saya kalah kes, saya tidak pernah sebut hari itu sebagai hari hitam ke, putih ke, hijau ke.

“Label ‘Black Friday’ yang diberikan adalah percubaan menghasut rakyat.

“Bila ditegur oleh Tuanku Sultan Selangor, cuba pula untuk ‘downplay’ apa yang dimaksudkan,” katanya di aplikasi X, hari ini.

Syahredzan yang merupakan Ahli Parlimen DAP mengulas kata-kata terbaharu Takiyuddin yang berkata kenyataan ‘Black Friday’ yang dibuatnya adalah reaksi biasa sebagai peguam yang kalah sesuatu kes mahkamah.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam’ atau ‘Selasa yang hitam’. Ia hari yang hitam untuk anak guam saya,” katanya memetika laporan Malaysiakini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan dengan alasan bertentangan Perlembagaan.

Takiyuddin dikritik selepas berkata keputusan itu ibarat “Black Friday” kepada undang-undang syariah Islam dan sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur kenyataan mengelirukan termasuk gelaran “Black Friday” oleh pemimpin tertentu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, Sultan Sharafuddin bertitah pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, akademik dan rakyat biasa membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes berkenaan.

“Namun demikian ada juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini,” titah baginda. – NalaysiaGazette