Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin negeri ini akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan para pelabur berkualiti serta bernilai tinggi berdasarkan rekod prestasi dan fasiliti pelaburan tahun lepas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan Pulau Pinang merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada tahun lalu, iaitu yang tertinggi di Malaysia.

Serentak itu, menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion dan lebih 14,000 peluang pekerjaan berjaya dimudah cara pada tempoh sama.

“Selaras dengan usaha kita untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda, pentadbiran ini menumpukan perhatian dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi perdagangan antarabangsa terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor.

“Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB), bagi suku ke-4 tahun 2023, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.0 peratus manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pula, sebanyak 73.3 peratus sekali gus membuktikan bahawa masyarakat di negeri ini merupakan golongan rajin berusaha dan semakin optimis dalam usaha menambah baik taraf kehidupan masing-masing.

“Ketahuilah bahawa saya serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerja keras dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa dipelihara dan dibela,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini.

Sehubungan itu, Kon Yeow turut mengingati semua pihak untuk menerapkan nilai-nilai Madani dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pekerja mahupun seorang individu.

“Jadilah insan yang menyumbang kepada kesejahteraan di tempat kerja. Tonjolkan kreativiti dalam sektor pembangunan serta daya cipta selain mengamalkan sikap hormat-menghormati sesama kita tanpa mengira latar belakang, posisi atau kedudukan,” katanya. – MalaysiaGazette