Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika berucap menyampaikan sasaran baharu sempena Majlis Amanat Naib Canselor 2024 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, hari ini.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  menggariskan lima fokus utama melalui penyampaian Amanat Tahun Baharu 2024 yang perlu dicapai oleh warga universiti tersebut sepanjang tahun ini.

Lima fokus utama adalah Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, lima fokus utama ini amat penting sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan peranan universiti ini sebagai universiti awam dalam berhadapan dengan cabaran globalisasi pendidikan tinggi pada masa sekarang.

Menurutnya, UMT juga mensasarkan pengukuhan bakat warga melalui pemantapan nilai murni, kecemerlangan penyelidikan dan perkembangan program akademik baharu untuk menyediakan universiti tersebut berdaya saing di peringkat global.

“Bagi menjamin kebajikan pelajar, Program Graduan Sulung yang diperkenalkan tahun lalu akan diterus dan ditambah baik dalam Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 yang bakal dimanfaatkan oleh 115 mahasiswa,” katanya ketika memberi amanat 2024.

Katanya, mahasiswa berkenaan akan diberi pengecualian bayaran yuran sepanjang pengajian di UMT yang melibatkan kos sebanyak RM471,130.

Sempena majlis itu, UMT turut melancarkan Pelan Strategik UMT 5 (2023-2027).

“Pelan ini akan menjadi landasan kukuh dalam menentukan hala tuju dan agenda utama UMT dalam tempoh empat tahun yang mendatang.

“Para warga diharapkan akan membentuk suatu kesatuan yang kukuh demi memastikan segala perancangan yang diatur akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast