Datuk Mutang Tagal mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 hari ini.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak, mencipta sejarah tersendiri, menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Mutang menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Jan lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Mutang, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara hari ini.

“Beliau merupakan anak jati negeri Sarawak berasal daripada etnik Lun Bawang. Ini adalah satu pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat, termasuk orang Ulu di Parlimen.

“Beliau adalah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas,” katanya.

Cadangan itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Terdahulu, Mutang yang memiliki latar belakang sebagai seorang pengamal undang-undang dan kini aktif dalam perniagaan, mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mutang, 69, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Master of Business Administration (MBA) dari Curtin University dan kini menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).

Beliau juga merupakan Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden, Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Sementara itu Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mutang sebagai Ahli Dewan Negara adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Feb 2024 sehingga 14 Feb 2027.

Menurut kenyataan itu, lantikan beliau merupakan lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – BERNAMA