logo gari
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan seorang pegawai kanan dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) ditahan atas penyalahgunaan dadah pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pegawai berusia 39 tahun didapati positif dadah jenis Benzo manakala anggota berpangkat sarjan, 42, pula positif THC.

Jelas beliau, pemeriksaan ujian air kencing itu dilakukan secara rambang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Saringan awal kedua-dua anggota itu didapati positif dadah dan mereka telah dibebaskan dalam tempoh 24 jam selepas siasatan selesai susulan majistret tidak membenarkan lanjutan reman.

“Sekiranya laporan patalogi mendapati mereka positif, tindakan tatatertib akan diambil ke atas mereka dan proses itu akan dilakukan oleh JIPS sendiri” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Difahamkan, seramai 67 pegawai dan anggota polis diperiksa dalam saringan itu membabitkan 22 pegawai dan 45 anggota.

Mengulas lanjut, Mohamad Usuf berkata, Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dilakukan secara berkala di mana pemeriksaan rambang dilakukan terhadap pegawai dan anggota.

“Kita buat pemeriksaan secara berkala untuk pastikan warga polis bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Sekiranya ada, kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast