Tertuduh, Yusri Nadin, 57, mengaku tidak bersalah sebaik semua 10 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang peniaga warung dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki di sini sejak Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Yusri Nadin, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua 10 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-manak lelaki berusia 13 tahun 8 bulan pada waktu kejadian dengan cara menghisap kemaluan mangsa.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun hingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut berdepan enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan dua kanak-kanak lain berusia 13 tahun dengan cara meraba kemaluannya yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017).

Peniaga warung itu juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan membuatkan kanak-kanak itu menghisap kemaluan kanak-kanak lelaki lain di bawah Seksyen 14(b) AKTSK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh juga dikenakan sebat.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan memiliki pornografi kanak-kanak yang terkandung dalam tiga buah telefon bimbit miliknya di bawah kesalahan Seksyen 10 akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kawasan ladang kelapa sawit, ladang getah dan dalam premis sekitar Simpang Bekoh, Asahan dalam daerah Jasin antara Ogos 2023 sehingga 6 Februari 2024

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi kesemua 10 pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd Kari bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan selain mengidap sakit kencing manis dan darah tinggi selain perlu menanggung empat ahli keluarga.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azaraorni membenarkan tertuduh diikat jamin RM52,000 bagi kesemua pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.

Kes akan disebut semula 28 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast