Barisan kontena di Pelabuhan Barat yang merupakan antara 20 buah pelabuhan paling sibuk di dunia sejak 2003 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Peningkatan pelaburan pada suku keempat 2023 memberi petanda positif bagi pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia, kata ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Beliau berkata kepada Bernama bahawa berlaku pengembangan pembentukan modal, menunjukkan keadaan ekonomi yang semakin baik.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat menyatakan kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia mencatatkan peningkatan aset bersih berjumlah RM119.4 bilion pada akhir suku keempat 2023 berbanding RM94.9 bilion pada suku ketiga 2023.

Sementara itu, pelaburan langsung di luar negara berjumlah RM662.8 bilion, perlombongan dan kuari  (RM80.5 bilion) dan sektor pembuatan (RM59.9 bilion).

Tiga destinasi teratas ialah Singapura bernilai RM150 bilion, diikuti Indonesia RM70.6 bilion dan Belanda RM40.5 bilion.

DOSM berkata, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia meningkat sebanyak RM11.4 bilion kepada RM926.3 bilion pada akhir suku keempat dengan 50.6 peratus, diikuti pembuatan (42.2 peratus: RM390.8 bilion) dan perlombongan dan kuari (4.5 peratus: RM42.1 bilion).

Tiga negara teratas menyumbang untuk FDI ialah Singapura (RM 207.7 bilion), Hong Kong (RM113.3 bilion), Amerika Syarikat (RM97.4 bilion).

Nungsari berkata, negara memerlukan lebih banyak pelaburan di dalam negara dan melalui FDI, serta perlu melabur dalam bidang baharu bagi meningkatkan kapasiti ekonomi.

“Ekonomi perlu berbeza dari segi struktur kerana ia memperoleh daya saing dalam bidang baharu. Mengembangkan apa yang sudah kita lakukan tidak akan berjaya. Kita perlu melabur dalam kapasiti baharu dalam perkara baharu. Kita perlu mempunyai lebih banyak perkara ini,” katanya. – BERNAMA