KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) pada 7 Februari 2024.
Ia diwujudkan bertujuan untuk memperkasa kompetensi digital Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dengan menyediakan akses kepada mereka untuk mendapatkan bahan latihan, kursus dan sumber-sumber pembelajaran sepenuhnya melalui peranti
masing-masing secara dalam talian atau luar talian.
Platform ini memberi manfaat kepada 429,000 orang PPP di seluruh negara dengan akses melebihi 20,000 kandungan termasuk 15,000 ebook, 4,000 video, 3,000 kursus, 400 latihan makmal dan 40 sijil profesional, kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan dapat membantu mengesan kecenderungan pengguna dengan memberi cadangan modul pembelajaran yang bersesuaian dengan kecenderungan masing-masing.
“Menerusi penggunaan SiPP, PPP akan dibimbing secara sistematik tanpa menghilangkan ciri-ciri keseronokan ketika mengikuti sesi pembelajaran,” kata kenyataan yang sama.
PPP berpeluang mendapat pengiktirafan dalam bentuk pengurniaan lencana dan sijil yang diiktiraf pada peringkat antarabagsa seperti Microsoft, Cisco, CompTIA, RedHat, Tosa, AWS dan PMI-ACP setelah melengkapkan modul pembelajaran.
SiPP boleh dilayari melalui Modul Individu Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) dengan kekunci masuk menggunakan ID Guru Malaysia. – MalaysiaGazette