Mohd Fadzli Mohd Ramly

KUANTAN –  Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang melihat kemungkinan pindaan RUU355 akan dibentangkan oleh kerajaan sekarang akan memperkukuhkan pelaksanaan hukuman dalam bidangkuasa jenayah di mahkamah syariah di negara ini.

Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, usaha itu diharap akan dapat dilaksanakan dan difahami sebaik mungkin oleh rakyat.

”Amanah Pahang menyambut baik usaha tersebut dan percaya bahawa cadangan pindaan RUU355 yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun berada di peringkat akhir merangkumi sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan.

”Oleh yang demikian, cadangan tersebut dipercayai turut mengambilkira pelbagai aspek pelaksanaannya.

”Maka pihak berkenaan juga wajar untuk mempertimbangkan sesi penerangan umum terhadap butiran pindaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen supaya lebih mudah difahami oleh masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan atau polemik yang disengajakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama terdapat isu utama yang perlu dirungkai iaitu berhubung peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap bidang kuasa jenayah di mahkamah syariah.

Justeru Mohd Fadzli berkata, Jawatankuasa Khas bagi mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan baru-baru ini perlu diberikan tempoh masa yang wajar untuk membuat kajian secara mendalam.

Tambahnya jawatankuasa tersebut mengemukakan syor-syor berhubung bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang jenayah syariah termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Kebangsaan Islam yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja.

Berdasarkan perkembangan tersebut, katanya, kerajaan Perpaduan hari ini terbukti sangat serius dan cermat dalam usaha menyelesaikan pertikaian bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Pada Ahad lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini. – MalaysiaGazette