Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melancarkan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 pada suku ketiga tahun 2024 ini sebagai langkah holistik dan serius dalam melindungi hak kepenggunaan rakyat di negara ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan melancarkan serentak Pelan Tindakan Kepenggunaan (PTK) 2030 bersama DPN 2.0 tersebut.

Menterinya, Datuk Amizan Mohd Ali berkata, DPN sebelum ini telah berkuat kuasa sejak tahun 2002 dan selepas dua dekad berlaku, kini wujud keperluan segera untuk kementerian memperhalusi dan membuat penambahbaikan serta pengukuhan kepada DPN sedia ada itu.

“Maka atas dasar itulah kita tampil dengan cadangan DPN 2.0 hari ini dan telah kita kongsikan kepada semua pemegang taruh dan pemain industri kepenggunaan.

“Kita memberikan tempoh masa sehingga 15 Mac ini yang merupakan Hari Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan dan semua pemegang taruh, pemain industri, rakyat, Badan Bukan Kerajaan dan penuntut universiti diberi peluang untuk mengesyorkan segala pandangan dan input mereka dalam bentuk penulisan mengenai DPN 2.0 ini kepada saya.

“Selepas 15 Mac nanti, kita akan merumuskan segala syor dan pandangan yang diajukan itu dan kemudian akan mengadakan libat urus dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sesi Libat Urus ‘Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P) sebagai agenda memperkukuhkan kepengunaan di Malaysia tengah hari tadi.

Dalam perkembangan sama beliau menambah, sesi libat urus bersama MPC
akan membabitkan tumpuan terhadap pematuhan keperluan riak regulatori, penilaian impak, serta garis panduan yang perlu diikuti.

“Sejurus sesi libat urus bersama MPC selesai, kita akan menyiapkan memorandum dan akan diangkat kepada Jemaah Menteri untuk pembentangan serta persetujuan.

“Kemudian DPN 2.0 ini dijangkakan dilancarkan pada Suku Ketiga Tahun 2024 ini,’ tegasnya lagi.

Tiga perkara teras menjadi tumpuan dalam Draf DPN 2.0 iaitu Aspek Partisipasi Rakyat, Pandangan Penguatkuasaan dan Aspek Pendidikan Nilai Kepenggunaan.

“DPN 2.0 ini merupakan milik pengguna sepenuhnya dan bukan sekadar KPDN semata-mata supaya NGO dan pemegang taruh bergerak seiiring dengan kerajaan menjayakan DPN 2.0

“Kita mahu menganjakkan teras dan agenda DPN ini dalam bentuk bersifat perlindungan pengguna kepada Daya Tahan Pengguna atau ‘Reseilence’.

“Contohnya, aspek pernah dibangkitkan sebelum ini adalah ‘Lemon Law’ yang mana kita akan lihat juga menerusi dasar kepenggunaan ini sama ada kita memerlukan perundangan khusus atau menambah baik Akta Perlindungan Pengguna yang sedia ada.

“Kita juga akan menelitin aspek e-dagang dan kecerdasan buatan (AI kerana banyak perubahan dari aspek asas ekonomi, bukan sahaja di dalam negara ini tetapi juga dunia,” jelasnya lagi.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Armizan menambah, pihaknya juga bercadang untuk menambah jumlah anggota penguatkuasa serta pegawai Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam KPDN.

“Keperluan menambah angota penguatkuasa memang ada,sekarang keutamaan kerajaan adalah melihat gaji penjawat awam yang mana ia melibatkan kos besar, kekangan fiskal juga wujud jika penjawatan baru.

“Maka sekarang kita hendak memperkukuhkan penguatkuasaan melaui pengisian jawatan sedia ada dan cadangan ini sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan harapan ia dapat dipertimbangkan segera (tambah anggota).

“Jemaah menteri pernah dan telah melihat supaya sekiranya kementerian lain memikirkan mereka boleh membantu penguatkuasa KPDN bantu, maka peranan itu boleh diberi kerjasama sebaik mungkin,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast