Alexander Nanta Linggi (kiri) dan Onn Hafiz Ghazi dalam satu pertemuan di KKR, semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan sebanyak RM168 juta untuk bebebrapa projek jalan raya di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu termasuk RM120 juta menaik aras Jalan Johor Bahru-Mersing, RM39 juta agi baik pulih jalan rosak kesan daripada bencana banjir Monsun Timur Laut dan baki RM9 juta bagi baik pulih jalan di Jalan Felda Ulu Tebrau

“Saya yakin dan percaya jalinan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu sentiasa diperkukuh demi manfaat kepada rakyat,” kata beliau selepas mengunjungi  Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di pejabatnya, semalam.

Onn Hafiz juga mahu KKR dapat mempertimbangkan permohonan lain sebagai persediaan bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta agenda Tahun Melawat Johor 2026.

Beliau turut berharap usaha meningkatkan mutu jaringan keselamatan jalan raya di negeri ini bakal memberikan limpahan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette