Lelaki maut parah di kepala selepas rempuh belakang lori di Jalan Rawang ByPass menghala ke Selayang dalam kejadian pagi tadi.

GOMBAK – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 4.8 Jalan Rawang Bypass di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pukul 9.13 pagi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha R15 dalam perjalanan dari arah Serendah menuju ke Selayang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori sebelum tercampak dan jatuh di atas jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Ariffin, siasatan mendapati lori itu dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.

“Ia telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parabh di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang di tempat kejadian tersebut,” ujarnya.

Mayat telah dibawa ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis memohon kerjasama awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kemalangan itu agar tampil menyalurkan informasi itu kepada pegawai penyiasat Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727.- MalaysiaGazette