Pasukan bomba dikejarkan di lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa. Foto JBPM

TANJUNG MALIM – Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah kereta dalam insiden kemalangan yang berlaku di Kilometer 379, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan tengah malam tadi.

Mangsa, Mohamad Hafizz Yusof, 28, yang dipercayai bertugas sebagai anggota tentera Di Kem Bentong, Pahang maut di lokasi dalam kejadian sekitar jam 11 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 11.14 malam tadi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki yang menunggang motosikal terperosok di bawah kereta jenis Nissan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kereta tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan. –

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette