Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara berang almari kasut menghalang laluan ke bilik tidurnya, seorang lelaki menumbuk adik serta mencederakan ibunya sehingga mengalami pendarahan di kepala.

Bagaimanapun suspek berjaya diberkas oleh polis dalam kejadian yang berlaku di kediaman mangsa di Jalan Bunga Melor, Taman Muda di Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang suri rumah warga emas tentang insiden dirinya diserang oleh anak lelakinya sendiri.

“Siasatan mendapati wanita berusia 74 tahun itu mendakwa semasa kejadian pada jam lebih kurang 12.30 tengah malam Selasa itu dia tidur di biliknya sebelum anak lelakinya (suspek) telah memukulnya menggunakan kunci stereng sehingga menyebabkan kepalanya berdarah dan dua batang gigi patah.

“Pada masa yang sama, anak ketiga pengadu yang terkejut dengan insiden itu cuba meleraikan situasi itu namun turut ditumbuk suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas laporan pengadu serta maklumat, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian iaitu rumah mangsa sebelum membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan jenayah itu.

Suspek seorang penganggur berusia 36 tahun telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan negatif dadah.

“Siasatan mendapati punca suspek mencederakan mangsa iaitu ibu kandungnya adalah disebabkan pengadu telah meletakkan almari kasut sehingga menghalang laluan ke bilik suspek.

“Suspek normal tanpa sebarang masalah tetapi tidak mempunyai hubungan dan persefahaman yang baik dengan ibu kandungnya sejak 10 tahun lalu.

“Suspek kini dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat,” tegasnya. – MalaysiaGazette