Wee Jeck Seng
Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menggunakan pelan yang lebih praktikal untuk menangani kejatuhan ringgit yang berterusan sehingga menimbulkan kebimbangan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, penyelesaian dasar yang pragmatik boleh dilaksanakan untuk menangani isu-isu yang berkaitan bukan mengelak daripada tanggungjawab.

Katanya, penyusutan nilai ringgit berterusan secara langsung memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan operasi perniagaan, oleh itu kerajaan tidak boleh lagi berdolak-dalih tetapi mengambil tindakan konkrit.

“Ringgit telah menjunam ke paras terendah dalam 26 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat, kepada hampir RM4.80. Walaupun cabaran ekonomi yang teruk dirasai di seluruh dunia namun kerajaan perlu mengelak daripada menggunakan pelbagai alasan untuk mengabaikan kesan daripada kadar pertukaran ringgit yang jatuh.

“Kerajaan perlu mencadangkan substantif dasar fiskal untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh perniagaan dan orang ramai. Walaupun Perdana Menteri telah meminta Gabenor Bank Negara Malaysia untuk menjelaskan mengenai penyusutan nilai ringgit tetapi tanggungjawab dalam perkara ini bukan terletak semata-mata bank pusat itu semata-mata,” katanya.

Jeck Seng berkata, kerajaan mesti menetapkan hala tuju jelas untuk pembangunan ekonomi negara dan melancarkannya secara spesifik, tepat dan pelan tindak balas yang berkesan termasuk, merancang satu siri strategi pembangunan dengan kemudahan konkrit.

Langkah-langkah ini akan membantu memacu semula ekonomi, menggalakkan dan merangsang pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, kerajaan juga harus menggubal lebih banyak dasar pro-perniagaan, mengurangkan birokrasi, mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, menggalakkan keusahawanan, dan menarik lebih banyak pelaburan asing untuk datang ke negara ini bagi merangsang pertumbuhan pelaburan dan aktiviti perniagaan.

Beliau turut mengulangi syor MCA sebelum ini iaitu melancarkan rancangan berskala besar untuk membolehkan ekonomi terus berkembang, mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang merupakan cukai yang telus dan lebih adil danĀ  menggubal dasar cukai dan subsidi yang mesra rakyat dan munasabah agar dapat mengurangkan jurang pendapatan rakyat dan meringankan beban kos sara hidup. – MalaysiaGazette